Forum Syariah & Cabaran Semasa

Assalamualaikum warahmatullah wbkth..
Hari ini 13 Ogos 06 berlaku satu sejarah besar di Kota Kinabalu apabila lebih 2 ribu umat Islam membanjiri Masjid Negeri untuk menyertai Forum Syariah & Cabaran Semasa anjuran Gabungan NGO Islam Sabah dengan kerjasama Masjid Negeri.
Pengerusi NGO ini ialah sdr Mudin Betting - YDP ABIM Negeri Sabah. Sebanyak 17 NGO Islam bergabung menyatakan kesedaran dan sokongan terhadap usaha-usaha memperkukuhkan Islam di Malaysia dan Sabah terutamanya.
Orang ramai mula hadir seawal 7 pagi walaupun majlis hanya bermula jam 9.30 pagi.
Acara sedikit terganggu dan kelam kabut apabila bekalan elektrik terputus hampir sejam membuatkan hadirin tidak selesa kerana kepanasan dan terpinga-pinga kerana tidak dapat mendengar dengan jelas ucapan yang berlangsung.
Mujur pihak urusetia bertindak pantas dengan menyediakan PA sistem kuasa bateri bagi membolehkan hadirin mendengar walaupun tidak jelas sepenuhnya.
Panel forum ini ialah Ustaz Hj Nahar Hj Matamin ( Imam Besar Masjid Negeri ), Sdr Adnan Puteh ( Pengerusi Peguam Muslim Sabah ), Sdr Ahmad Shabrimi ( Wakil PEMBELA Pusat ), Sdr Ahmad Suman ( Pensyarah Undang-Undang UMS Sabah ) dan moderatornya ialah Us Bungsu Aziz Jaafar ( UiTM Sabah ).Para panel telah mengupas persoalan semasa yang diutarakan mengikut kepakaran masing-masing dengan begitu baik sekali. Begitu juga moderator yang bijak mengawal suasana dan menaikkan semangat hadirin.
Dalam sesi soal jawab, banyak persoalan dan cadangan dikemukakan oleh hadirin sambil menyatakan sokongan mereka terhadap usaha-usaha yang dijalankan oleh PEMBELA Sabah.
Pada 12.25 tengahari, forum berehat untuk solat zuhur yang diimamkan oleh Imam Saidin Arpha, Pembantu Imam Masjid Negeri manakala solat hajat dipimpin oleh ulama yang tidak asing lagi di Sabah, al-Fadhil Us Hj Muchlish Ali Kasim yang juga Pengerusi Syukbah Dakwah & Pendidikan Masjid Negeri.
Selepas itu, forum disambung semula dengan panel menjawab soalan dan penggulungan sehingga jam 2 petang. Sdr Mudin Betting menutup majlis dengan membacakan resolusi yang akan menjadi asas untuk umat Islam di Sabah bergerak dalam menangani gejala murtad dan pelbagai gejala lain.
Pengerusi majlis mengumumkan kutipan derma pagi itu sebanyak RM4040.40 dan jumlah tandatangan anti murtad yang dikutip sepanjang 2 minggu di Sabah sebanyak 9,300 tandatangan.
Mudah-mudahan Allah swt memberi kekuatan kepada umat Islam dalam menghadapi cabaran semasa pada hari ini.
( Pernyataan resolusi, gambar sepanjang program akan disiarkan selepas ini ).

0 Comments:
Post a Comment
<< Home