Siring Dinding

Thursday, August 31, 2006

Khutbah : Isra Mi'raj - Isu Palestin & Kelesuan Umat Islam

( Dibaca di Masjid Jamek Layang-Layangan WP Labuan, 25 Ogos 06 )

Saudara-saudara muslimin,

Beberapa hari yang lalu, kita baru sahaja menyambut dan mengingati suatu peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah Islam, iaitu peristiwa al-Isra Wal Mi’raj yang berlaku pada 27 Rajab, tahun ke 11 kerasulan.

Firman Allah swt :

“Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada waktu malam bermula dari Masjidil Haram di Makkah menuju ke Masjidil Aqsa di Palestin yang telah Kami berkati disekitarnya, supaya Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” ( al-Isra’: 1 )

Ia suatu mukjizat dan peristiwa yang sangat besar bukan sahaja kepada diri Rasulullah saw bahkan juga kepada umat Islam di sepanjang zaman.

Suatu peristiwa yang mempunyai pengajaran-pengajaran dan iktibar kepada umat Islam sepanjang zaman. Di antara pengajaran yang terdapat di dalam peristiwa ini ialah ianya suatu pengisytiharan daripada Allah swt kepada Rasulullah saw bahawa sesungguhnya Allah swt akan mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah saw.

Ianya berlaku tatkala Rasulullah saw dan para sahabatnya diuji dengan pelbagai kekerasan dan kekejaman yang dilakukan oleh puak-puak yang musyrikin dan musuh-musuh Islam.

Kaum muslimin,

Tatkala kita mengingati peristiwa ini, jangan kita lupa bahawa bumi palestin kini sudah puluhan tahun dikuasai oleh Israel laknatullah.

Hari ini kita berhadapan dengan satu keadaan yang sangat menghinakan orang-orang Islam ketika jumlahnya 1,300 juta yang berada di seruruh pelusuk dunia.

Di hadapan kita kini, umat Islam diratah oleh musuh-musuh Islam. Umat Islam di Palestin menjadi mangsa kezaliman. Mereka yang menubuhkan kerajaan Islam yang mendaulatkan syariat Islam. Mereka kini dikepong oleh Yahudi laknatullah, pemimpin dan menteri-menteri mereka ditangkap.

Bandar-bandar utama dikepong dan sudah ramai yang mati dibunuh. Umat Islam Palestin bangkit menentang Yahudi dengan senjata-senjata ringan buatan sendiri dan mereka tidak menyerah kalah.

Dalam masa yang sama, kumpulan Islam di Selatan Lubnan, kumpulan Hizbullah, bukan sebuah kerajaan tetapi parti yang menegakkan Islam, berusaha untuk membantu saudara-saudara mereka di Palestin. Lubnan dikepung dari udara, laut dan darat. Kita melihat beberapa minggu lepas, Hizbullah berjaya menghalang kemaraan tentera Israel Yahudi walaupun mereka tidak mempunyai senjata canggih tetapi dengan senjata iman yang ada di dalam hati mereka, hizbullah berjaya mengalahkan tentera Yahudi Israel yang mempunyai senjata yang canggih dan mahal.

Media-media barat menggambarkan kumpulan-kumpulan Islam ini sebagai pengganas kerana mahu menegakkan kalimah Allah swt. Negara umat Islam membisu, tidak membantu umat Islam yang diserang. Rasululah saw pernah mengatakan bahawa ia berlaku kerana umat Islam ditimpa penyakit al-wahn iaitu cintakan dunia dan bencikan mati.

Kaum muslimin,

Marilah kita sama-sama mendengar seruan Allah swt di dalam al-Quranul Karim :

“Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah ditindas dari kalangan lelaki, wanita maupun anak-anak, mereka merayu serta merintih: "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri yang penduduknya melakukan kezaliman ke atas kami kerana kami menjadi orang-orang yang beriman. Wahi Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong yang menyelamatkan kami dari kezaliman!" ( an-Nisa : 75 )

Rasulullah saw dan para sahabatnya menyahut seruan Allah swt bagi menyelamatkan orang-orang beriman yang masih tinggal di Makkah yang tidak mampu berhijrah walaupun ketika itu orang-orang Islam sedikit.

Mereka dilihat lemah pada zahirnya, tetapi mempunyai iman yang kuat, keyakinan dan kepercayaan kepada Allah swt bahawa Allah swt pasti menunaikan janjiNya bagi menolong orang-orang beriman yang berjuang menengakkan agamaNya.

Walaupun berdepan dengan golongan-golongan musuh Islam yang lebih kuat pada zahirnya, lebih ramai bilangan mereka, lebih banyak senjata dan harta yang ada pada mereka, mereka yang kaya iman ini bangkit menegakkan agama Allah menentang musuh-musuh Allah, menyelamatkan orang-orang beriman yang ditindas.

Justeru itu, Khalifah Abu Bakar ra ketika dilantik menjadi khalifah menegaskan dalam ucapannya :

“Dan tiadalah sesuatu kaum di kalangan umat Islam yang meninggalkan jihad melainkan Allah akan menimpakan bala dan dihinggapi kehinaan dan perkara yang buruk”

Oleh kerana itu, pemerintah Islam yang masih berpegang kepada Islam pada zaman masing-masing tidak meninggalkan kewajipan berjihad.

Marilah kita melihat peristiwa yang berlaku di akhir kerajaan Abbasiyyah dibawah pemerintahan Khalifah al-Mu’tasim.

Apabila seorang perempuan Islam yang berniaga di negeri bukan Islam, ketika berada di pasarnya, tergelincir jatuh lalu tersingkap pakaiannya dan mendedahkan auratnya. Perempuan itu telah disorak dan diejek oleh orang-orang bukan Islam. Ia dihina di khalayak ramai kerana menutup aurat dan auratnya terbuka.

Tiba-tiba perempuan itu merayu :

Wahai Khalifah Mu’tasim! Selamatkan daku!

Orang-orang yang bukan Islam itu lebih kuat menyorak dan menghinanya.

Seorang lelaki muslim berada di tempat itu, lalu bermusafir ke Baghdad dan menghadap Khalifah Muktasim memberitahu hal itu. Khalifah muktasim bangun berdiri dan terus menjawab :

Wahai ibu! Ini khalifah Muktasim mendengar seruanmu. Lalu baginda mengerahkan bala tenteranya untuk menyerang negeri itu kerana menghina seorang perempuan Islam.

Kaum muslimin,

Benarlah sabda Rasulullah saw bahawa Islam tidak boleh dihapuskan :

“ Akan ada satu kumpulan di kalangan umat aku , mereka bangun berdiri menzahirkan perkara agama ini, mereka tidak boleh dilemahkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka. Para sahabat bertanya, siapakah golongan itu ya Rasulullah? Baginda menjawab : mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan yang berada di keliling Baitul Maqdis.”

Hari ini telah zahir umat itu yang diceritakan oleh hadith tersebut, juga zahir juga golongan yang menentang mereka.

Umat Islam yang tidak peduli apa yang berlaku kepada saudara mereka, sebenarnya alpa dengan amaran Rasulullah saw :


“Sesiapa yang tidak mengambil berat dengan urusan orang Islam, maka dia tidak termasuk dari kalangan orang Islam”.


Maka berwaspadalah kita, jangan termasuk dalam golongan ini.

Kaum muslimin,

Walaubagaimanapun, Allah swt mengingatkan bahawa Islam tidak akan dapat dihapuskan di atas muka bumi ini. Firman Allah :

“Wahai orang-orang beriman! Sesiapa yang murtad di kalangan kamu daripada agamanya, nescaya Allah akan mendatangkan golongan yang mempertahankan Islam, Allah mengasihi mereka, dan mereka kasihkan Allah. Mereka merendahkan diri kepada orang-orang yang beriman dan bersikap keras kepada orang-orang kafir, mereka berjihad di jalan Allah dan mereka tidak memperdulikan celaan orang yang mencela. Itulah kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki di kalangan hambaNya, sesungguhnya Allah itu maha luas kurniaNya lagi Maha Mengetahui.

Sesungguhnya yang menjadi wali kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka rukuk iaitu patuh kepada Allah swt.

Dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang beriman, maka sesungguhnya golongan Allah itulah yang akan mendapat kemenangan.”
( al-Maidah : 54 )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home