Siring Dinding

Wednesday, October 11, 2006

Bahaya Meninggalkan Ajaran Al-Quran

(Teks Khutbah JHEAINS 13 Okt 06 )


Sumbangan : Syukbah Dakwah & Pendidikan, Masjid Negeri Sabah

(Foto - Masjid As-Saadah, Kg Pimping Membakut)




الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahlu :

..”ونزلنا عليك الكتب تبيـنا لكل شيء وهدى ورحمة وبشرى للمسلمين

Maksudnya : “..Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang beriman.

Sempena kita berada pada fasa ketiga bulan Ramadhan yang dijanjikan dengan pembebasan daripada api neraka bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan, marilah kita mengambil peluang sebaik mungkin secara terus menerus dalam menghidupkan Ramadhan dengan amal ibadat seperti bersedekah, menjamu orang berbuka puasa, tadarrus al-Quran, solat terawih, qiamullail dan sebagainya.

Sempena berada pada bulan Ramadhan yang dibuka seluasnya pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka, diganda pahala, diampunkan dosa, dimakbul doa, dirantai segala syaitan derhaka ditambah pula dengan ada pada salah suatu malamnya laillatul qadar di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut dimulut tanpa berusaha menghidupkannya.

Mimbar hari ini menyeru umat Islam agar terus mengimarahkan masjid-masjid, beriktikaf dan berqiyamullail pada 10 malam terakhir mencari malam al-qadar seperti yang dijanjikan oleh Allah swt.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:

وقال الرسول يــرب إن قومي اتخذوا هذا القرءان مهجورا
Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”

Sempena berada pada bulan Ramadhan, bulan turunnya al-Quran maka kita bukan sahaja mesti bersungguh dalam membaca al-Quran tetapi apa yang paling penting ialah mengamal dan melaksanakan segala ajaran al-Quran. Kita mestilah berusaha menghindari sikap golongan yang menjauhi al-Quran.

Para ulama’ mengatakan bahawa 5 jenis manusia yang dianggap menjauhi al-Quran ialah apabila :

[1] dia tidak mahu mendengar dan beriman kepada al-Quran
[2] dia hanya beriman dan membaca al-Quran sahaja tetapi tidak mengamalkan isi kandungannya
[3] dia enggan mendalami dan memahami maksud al-Quran
[4] dia tidak menjadikan al-Quran sebagi penyembuh terhadap pelbagai penyakit hati
[5] dia tidak mahu menggunakan hukum al-Quran dalam kehidupan seharian

Kita mesti ingat bahawa musuh Islam sentiasa berusaha siang dan malam dalam menjauhkan umat Islam daripada al-Quran. Lihatlah apa yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini di mana betapa ramai umat Islam yang buta al-Quran dan agama.

Ketika ramai umat Islam yang tidak pandai membaca al-Quran maka musuh-musuh Islam mengambil peluang dengan menyebar terjemahan Bible dalam Bahasa Melayu dan Al-kitab dalam Bahasa Arab bukan sahaja melalui internet malah secara luaran. Jika sebelum ini, mereka telah lama meletakkan Bible di bilik-bilik hotel dalam menyebar ajaran mereka. Begitu juga dengan penyebaran risalah-risalah atau cd-cd dakyah secara percuma yang memuatkan kisah yang bertentangan dengan kepercayaan orang Islam di beberapa tempat tertentu. Apabila musuh Islam sedang giat bergerak adakah kita hanya mampu melihat. Bangkitlah umat Islam!.

Firman Allah dalam ayat 26 surah al-Fussilat :

وقال الذين كفروا لا تسمعوا لهذا القرءان والغوا فيه لعلكم تغلبون

Maksudnya : Dan berkatalah orang-orang kafir itu : “ Janganlah kamu mendengar al-Quran itu dengan bersungguh-sungguh. Buatlah hiruk pikuk terhadapnya agar kalian dapat mengalahkan orang-orang yang beriman”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Rasulullah s.a.w telah berpesan tentang cara terbaik bagi menyelamatlkan diri daripada kekacauan dan bala bencana yang besar iaitu berpegang teguh dengan al-Quran. Baginda turut menyatakan keistimewaan al-Quran antaranya ialah :

[1] al-Quran menjadi pemutus antara yang hak dan batil bukannya keterangan yang olok-olok
[2] Golongan sombong dan angkuh yang meninggalkan al-Quran akan dibinasakan dan sesiapa yang mencari petunjuk selain al-Quran akan disesatkan oleh Allah
[3] Al-Quran merupakan tali Allah yang teguh kukuh dan jalan yang lurus. Berpegang teguh kepada ajarannya maka hawa nafsu tidak akan menyeleweng atau terpesong [4] Kalimah-kalimah al-Quran tidak akan bercampur aduk atau kesamaran dengan kata-kata makhluk sehingga para ulama’ tidak merasa jemu daripada mengkaji isi kandungannya
[5] Keindahan, kemanisan dan kelazatan membaca al-Quran tidak akan susut dan hilang sekalipun ia dibaca berulangkali
[6] Kandungannya yang menakjubkan tidak berkesudahan
[7] sesiapa yang memperkatakan sesuatu berdasarkan al-Quran maka benarlah perkataannya.
[8] Sesiapa yang beramal dengan ajaran al-Quran maka dianugerahkan pahala.
[9] Sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hakam al-Quran maka adillah keputusannya.
[10] Sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menuruti ajaran al-Quran sudah tentu dia dan mereka akan beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus.

Kita mesti ingat bahawa kita sekarang ini berada zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian terhadap iman kita. Oleh itu rapatkan diri kita dengan al-Quran dari segi pembacaan dan pengamalannya. Tiada ubat yang paling mujarab dalam mengubati penyakit hati dan anggota zahir melainkan al-Quran.

Umat Islam punah aqidahnya dan musnah akhlaknya bila jauh daripada ajaran al-Quran. Musuh Islam telah lama sedar dan tahu bahawa apabila umat Islam menjauhi al-Quran maka penjajahan terhadap pemikiran dan sistem kehidupan umat Islam akan terus berlangsung dengan mudah.

Sebaliknya jika umat Islam kembali sedar seterusnya berusaha bersungguh-sungguh dalam mengembalikan pelaksanaan al-Quran dalam kehidupan maka sebarang sistem yang bercanggah dengan Islam akan terhapus serta umat Islam kembali memiliki jatidiri sebagai umat yang memperolehi kemerdekaan yang hakiki.

Apabila hati jauh daripada siraman al-Quran menyebabkan umat Islam mencari perkara yang bercanggah daripada Islam bagi menenangkan hati yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam terlibat dengan najis dadah, arak serta hiburan melampau yang merupakan antara senjata musuh Islam dalam merosakkan umat Islam.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Musuh Islam juga terus berusaha dalam menjauhkan umat Islam daripada masjid serta mengurangkan peranan masjid. Musuh Islam tahu bahawa jika umat Islam semakin jinak dengan masjid dan pelbagai program berjaya disusun dalam menghidupkan kembali peranan masjid maka akan melahirkan umat yang akan melaksanakan al-Quran serta mengenepikan segala sistem ciptaan kuffar. Jika ini berlaku bermakna penguasaan kuffar ke atas umat Islam semakin lama semakin lemah dan akhirnya umat Islam akan kembali menguasai dunia sebagaimana yang pernah dicapai dan dikecapi oleh beberapa generasi umat Islam sebelum ini.

Umat Islam adalah golongan majoriti tetapi kebanyakan kita terjajah dan mundur dalam negara sendiri dari segi pembangunan kebendaan dan modal insan. Umat Islam lemah bukan sahaja kerana malas dan tidak tahu membaca al-Quran tetapi juga kerana tidak mengamalkan saranan dan arahan yang telah ditunjukkan oleh Allah melalui al-Quran.

Umat Islam tidak menghasilkan ilmu, gagal menyebar dan memanfaatkan ilmu sehingga kita gagal menguasai pendidikan. Mundurnya umat Islam bila lemah ulama’nya. Dalam masa yang sama masyarakat ditimpa penyakit jahil serta malas yang merbahaya. Ubahlah sikap kita kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa sehingga mereka sendiri bangun mengubah apa yang ada pad diri mereka.

Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:

ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السموت والأرض ومن فيهن بل أتينـهم بذكرهم فهم عن ذكرهم معرضون

Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home