Hidangan Ruh & Jasad Pada Bulan Ramadhan

(Teks Khutbah JHEAINS pada 29 Sept 06)
Kita telah beberapa hari menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak, bulan kurnia Allah swt kepada orang-orang yang beriman.
Apabila tibanya bulan Ramadhan, Rasulullah saw menyampaikan ucapan :
“Telah tiba kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang mulia. Pada bulan itu terdapat satu malam yang mempunyai kelebihan lebih baik dari 1000 bulan. Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan daripada Allah dan akhirnya pelepasan dari api neraka.”
Bulan kita dijemput menjadi tetamu Allah swt untuk menghadiri majlis hidanganNya. Hidangan yang disediakan kepada kita - makanan ruh dan makanan jasad. Kerana Allah swt menjadikan manusia dengan 2 fitrah, 2 naluri dan 2 sifat iaitu unsur ruh dan jasad. Kedua-dua unsur ini memerlukan makanan.
Maka Allah swt menghidangkan pada bulan Ramadhan ini makanan ruh dan makanan jasad, yang penuh dengan kelebihan. Makanan ruh ialah iman, ilmu, taqwa dan segala akhlak yang mulia. Makanan jasad ialah makan minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.
Allah swt telah menentukan tugas manusia yang berbeza dengan tugas malaikat yang berada di alam ruh; dan berbeza dengan binatang yang hanya menjaga kepentingan jasad. Manakala manusia mempunyai kedua-dua unsur – unsur malaikat dan unsur binatang tetapi dengan cara yang berbeza.
Sekiranya manusia memenuhkan makanan ruh dan menunaikan tuntutan ruh dengan sebenarnya, dalam masa yang sama berjaya menghadapi hawa nafsu kebinatangan yang ada di dalam dirinya, seperti para nabi dan rasul as. Maka mereka menjadi makhluk yang lebih mulia dari para malaikat.
Dan di sana ada golongan manusia yang lupa makanan ruh, dan mengendalikan jasadnya seperti binatang. Maka manusia seperti ini lebih jahat dari binatang.
Allah swt melatih, mendidik, memberi ilmu dan tarbiyyah kepada kita pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini dengan hidangan menunaikan kewajiban berpuasa pada siang hari, memberi sedeqah dan menjamu makanan kepada saudara mara, sahabat handai, jiran dan orang-orang yang memerlukan pertolongan. Diisi dengan ibadah-ibadah yang lain, menghidupkan malam dengan solat tarawih, bertadarrus al-Quran, bertahajjud dan lain-lain. Dijanjikan dengan fadhilatnya yang lebih besar yang dilakukan pada luar Ramadhan.
Ibadah puasa sahaja dijanjikan oleh Allah swt dengan pahala yang tidak terhingga banyaknya. Setiap amal manusia yang melakukan kebaikan, diberi setiap satu amal kebajikan itu dengan 10 kali ganda pahalanya.
Adapun berkenaan puasa, Allah berfirman :
“Sesungguhnya puasa itu untukKu dan Akulah yang akan membalasnya“
Menunjukkan betapa besarnya kurnia Allah swt kepada orang-orang yang berpuasa.
Betapa ruginya orang-orang yang meninggalkan puasa. Sesiapa yang tidak berpuasa 1 hari, tanpa ada sebab keuzuran yang membolehkan ia meninggalkan puasa, dari sudut nilainya, dia tidak akan dapat mengganti pahala puasanya yang ditinggalkannya sehari itu, walaupun dia berpuasa sepanjang umurnya.
Marilah kita menunaikan puasa ini dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang diwajibkan kepada kita beserta dengan adab-adab yang menambahkan fadhilatnya. Supaya kita menyedari bahawa puasa itu bukan sekadar untuk menjaga diri tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa pada siang hari – tidak makan, tidak minum, tidak bersetubuh dengan isteri, tidak memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka.
Bahkan seseorang itu juga hendaklah memelihara dirinya dari perkara-perkara yang menghilangkan pahala puasa walaupun tidak membatalkan puasanya. Memelihara anggota dan pancainderanya dari melakukan perkara-perkara dosa, memelihara lidah, memelihara mata dan segala anggota-anggota lainnya. Itulah pendidikan puasa yang merupakan makanan ruhani yang dihidangkan oleh Allah swt pada bulan Ramadhan.
Kita juga dijanjikan dengan fadhilat diberikan pahala pada makanan jasad. Kita makan dan minum ketika berbuka puasa, bukan sahaja kita kenyang dan hilang dahaga tetapi kita diberi pahala. Kita makan pada waktu sahur yang mendatangkan pahala. Allah swt menjanjikan fadhilat kepada orang yang makan sahur. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah saw :
“Sesungguhnya Allah swt dan para malaikatNya memberi salawat kepada orang-orang yang bersahur”.
Menunjukkan bahawa bukan sahaja ibadah puasa diberi pahala tetapi makan minum kita menjelang berbuka dan bersahur diberi pahala oleh Allah swt.
Inilah antara keistimewaan yang terdapat di dalam ibadah Ramadhan disamping keistimewaan-keistimewaan lain. Marilah kita mengambil keistimewaan itu, supaya kita mencapai natijah puasa yang baik, hidangan yang disediakan oleh Allah swt.
Kita menerima kelebihan rahmat pada permulaan Ramadhan, mendapat keampunan pada pertengahannya dan dimerdekakan dari api neraka sesudah kita meninggal dunia sekiranya kita menunaikan puasa sebaik-baiknya.
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”
Disediakan oleh :
Masjid Negeri Sabah.
Masjid Negeri Sabah.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home