Siring Dinding

Saturday, October 07, 2006

Kehilangan Yang Ditangisi

Ketika pulang ke rumah sekitar jam 1030 malam 3 Okt, saya menerima SMS daripada seorang rakan : 'Pendakwah terkenal negeri Sabah Ust Umar Sidik meninggal dunia jam 9 malam tadi. Al-Fatihah'.
Saya langsung menghubungi seorang ustaz yang seangkatan dengan allahyarham untuk mengesahkan berita itu. Menurut anak ustaz yang menjawab panggilan itu, ayahnya baru bertolak ke kg Rampaian - rumah allahyarham.
Saya bercadang untuk menziarahi janazah selepas subuh esok sahaja.
4 Okt 06 ( Rabu )
Kira-kira jam 630 pagi, saya bertolak ke rumah allahyarham. Berdasarkan panduan yang diberi, saya mengagak rumah allahyarham apabila sampai di kampung berkenaan, beberapa deretan kereta ada di pinggir lebuhraya Lintas. Sebenarnya saya tidak pernah berkunjung ke rumah allahyarham pun.
Di ruang tamu rumah itulah diletakkan janazah allahyarham atau nama panggilannya Pak Umar di kalangan kenalan rapatnya.
Ketika itu ada beberapa tamu sedang membacakan Yasiin dan doa. Saya duduk di hadapan janazah. Isteri allahyarham - yang saya panggil Ibu, duduk di sebelah kepala allahyarham. Setelah selesai membaca Yasiin dan doa, saya berbual panjang dengan ibu. Bertanya tentang beberapa perkara. Ternyata ibu selesa bercerita tentang allahyarham. Tapi ia sudah tentu tidak dapat menampung kisah suka duka sepanjang 75 tahun hayat allahyarham terutama kisah dakwahnya di bumi Sabah ini.
Rupanya malam tadi, rumah ini telah dipenuhi oleh para ustaz seangkatan allahyarham, keluarga, kenalan dan 'peminat-peminat' beliau.
Cerita ibu, mereka datang dari Medan ke Sabah khususnya ke Semporna pada tahun 1975 atas undangan Datuk Sakaran Dandai ( sekarang Tun - Mantan TYT Yang DiPertua Negeri Sabah ) selaku Menteri Kebudayaan Negeri ketika itu untuk mengajar anak-anak tempatan bernasyid. Jadi kehadiran allahyarham ketika itu adalah atas kapasiti kebudayaan bukan guru agama.
Setahun sebelum itu 18 orang guru muda kesemuanya dari Medan, Indonesia ( kalau tidak silap saya ) datang ke Sabah untuk berdakwah atas jemputan Tun Datu Mustapha. Kesemua mereka ditempatkan di pelbagai daerah di seluruh negeri untuk menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat setempat. Hanya Pak Umar saja yang datang kemudian dan terus pula ke Semporna.
6 bulan pertama menurut ibu, mereka bagaikan makan gaji buta. Tidak ada sesiapa pun yang belajar nasyid. Allahyarham nekad untuk balik semula ke Medan. Datuk Sakaran memujuk allahyarham untuk tetap di Sabah dan membantu mencarikan penempatan di MUIS.
Sepanjang perkhidmatannya, allahyarham pernah bertugas di SUI Likas, SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah, Sembulan Kota Kinabalu. Ketika itulah allahyarham mula sesekali dijemput memberikan ceramah kepada masyarakat setempat. Selepas itu, beliau ditempatkan di Bahagian Dakwah untuk memberi tumpuan sepenuhnya kerja-kerja dakwah kepada masyarakat awam. Suaranya yang garau, dengan gurau sendanya ketika berceramah membuatkan hadirin tidak lupa dengan kemesraan allahyarham.
Sesudah bersara dari perkhidmatan di MUIS dan JHEAINS pada 2002 pun, allahyarham sering memenuhi masanya dengan menulis dan jemputan menyampaikan ceramah. Saya pernah mendengar kisah hampa allahyarham apabila kitab-kitab rujukannya dan beberapa artikel dan makalah hasil tulisannya musnah terkena banjir besar di Menggatal beberapa tahun lalu. Selain itu juga, sehingga kini nama allahyarham juga tercatat sebagai tenaga penceramah tetap setiap maghrib ahad di Masjid Jamek Kg Inanam Laut, Inanam.
Malahan kata ibu lagi, ketika akhir hayatnya allahyarham pernah bertanya kepadanya, adakah beliau sempat lagi meneruskan kuliahnya selepas raya nanti, ibu memberikan kata semangat bahawa insya Allah beliau akan sihat semula dan menyambung kuliah itu nanti walaupun ibu tidak merasa pasti dengan kata-katanya sendiri melihatkan keuzuran suaminya.
Allahyarham mengalami penyakin gaut dan bisul di pahanya. Ibu dan salah seorang anaknya, abang Rizal bercerita bahawa akhir hayatnya allahyarham sudahpun pulih dari penyakitnya itu. Malahan najisnya sudah normal.
Cuma beberapa hari terakhir, paru-paru allahyarham dikesan dijangkiti kuman.
Begitulah takdir Allah swt. Anaknya berhasrat membawa allahyarham ke hospital pada keesokan harinya -rabu- sedangkan malam itulah allahyarham menghebuskan nafas terakhirnya.
Malam itu, ketika allahyarham dilihat terlantar sambil menonton berita di ruang tamu, ibu menceritakan keadaan allahyarham yang tenang dan damai. Paling menggembirakan, allahyarham mengikuti lafaz kalimah tauhid yang dipimpin isterinya.
"Syukurlah", kata ibu mengakhiri perbualan kami.
Sebelum saya pulang untuk ke pejabat, kelihatan Tun Sakaran Dandai dan isteri tiba untuk menziarahi allahyarham.
Semoga Allah swt menempatkan allahyarham bersama orang yang beriman.
( Beberapa maklumat selain daripada ibu, diperolehi juga daripada JHEAINS sahabat-sahabat allahyarham yang lain )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home