Siring Dinding

Saturday, October 07, 2006

Muhasabah Ramadhan

(Teks Khutbah JHEAINS 6 Okt 06 )
Hari ini adalah Jumaat kedua bagi Ramadan tahun ini, kita sedang berada pada sepuluh hari kedua dari bulan Ramadan yang disebut oleh nabi SAW “ Waawsatuhu Maghfirah” yang bermaksud pertengahannya pengampunan.
Justeru itu marilah sama-sama kita bermuhasabah dan bertanya apakah ibadat puasa yang kita lakukan sekarang ini, adakah ia benar-benar puasa yang diterima oleh Allah S.W.T. atau sebaliknya? Adakah kita termasuk dalam golongan yang mendapat pengampunan Allah pada bulan yang mulia ini.
Puasa Ramadan yang kita tunaikan ini bukanlah suatu amalan tradisi turun-temurun yang tiada kesan peningkatan dan perubahan pada diri orang yang berpuasa, bahkan ia perlu dibuktikan dengan perubahan sikap dan peningkatan amal secara yang lebih jelas dan berkesan berbanding tahun lalu.
Puasa yang kita lakukan pada tahun ini sepatutnya lebih baik dari puasa tahun-tahun yang lalu. Marilah kita bermuhasabah pada hari ini sejauh mana taqwa yang telah kita tingkatkan setelah kita lalui satu pertiga yang pertama daripada bulan Ramadan . Firman Allah Taala:

183. Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.

Sidang Jumaat sekalian,
Janganlah puasa ramadan yag kita tunaikan ini sekadar puasa menahan diri dari lapar dan dahaga sebaliknya marilah kita jadikan puasa yang dapat menundukkan hawa nafsu kita yang sentiasa ingin melanggar hukum-hukum Allah swt. Nafsu jahat perlulah dibanteras. Nafsu perut yang ingin memakan perkara yang diharamkan oleh Allah, perut yang membesar dari sumber yang diharamkan oleh Allah seperti rasuah, riba, penipuan dan pelacuran.
Marilah kita jadikan puasa ini puasa yang dapat mengawal Nafsu yang ingin melihat perkara yang haram seperti gambar-gambar perempuan yang mendedahkan aurat, nafsu yang menghabiskan masa di hadapan televisyen berjam-jam siang dan malam, nafsu yang asyik menonton drama-drama, telenovela, kisah-kisah cinta, filem-filem yang diimport dari timur dan barat yang jelas bertentangan Islam dan tidak memberi manfaat dan mengurangkan pahala puasa. Begitu juga mulut yang ingin berceloteh, mengumpat, berbohong dan mencaci mesti dilawan di bulan Ramadan ini dan bulan-bulan lain.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadan disebut sebagai bulan al-Quran kerana mensyukuri nikmat Al-Quran yang diturunkan oleh Allah swt pada bulan Ramadan. Firman Allah Taala:
"(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)…."

Ayat ini menunjukkan bahawa al-Quran bukan sahaja kitab yang diturunkan untuk dibaca semata-mata tetapi tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk menjadi kitab hidayah dan petunjuk, kitab yang membimbing manusia ke arah kebenaran, membezakan antara yang benar dan batil, tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya bertadarus dan khatam al-Quran pada bulan yang mulia ini, tetapi ingatlah apa ertinya kita dengan bangga membaca satu al-Quran tetapi kita tidak memahami maksudnya, akhirnya kita menjadi orang yang pertama menolak kandungannya. Janganlah kita menjadi seperti orientalis barat yang mengkaji alquran bahkan sebahagian mereka menghafaznya tetapi mereka menjadi orang yang menolak al-Quran.
Sidang Jumaat,

Ada dikalangan umat Islam yang tidak ada bezanya antara puasa dengan tidak puasa. Puasa yang hanya menjadi satu adat dan budaya jika hanya menahan diri dari makan dan minum tanpa disertai dengan kesungguhan berperang dengan nafsu. Ada dikalangan wanita Islam hari ini yang berpuasa sepanjang hari tetapi tidak menutup aurat. Ada juga yang berpuasa tetapi tidak menyempurnakan solat. Ada yang tidak tahu membezakan antara yang fardu dan sunat, sebahagian mereka tidak menunaikan solat subuh atau zohor atau Asar atau Maghrib tetapi mengerjakan solat terawih, ketahuilah bahawa solat terawih itu hukumnya sunat dan sama sekali tidak dapat menampung solat fardu yang ditinggalkan.

Mimbar hari juga ingin mengambil kesempatan untuk memberi peringatan kepada sesetengah jemaah yang tidak memahami peraturan solat Jemaah, dibulan yang mulia ini kita dapati saf jemaah terputus kerana ingin menunaikan solat dibelakang kipas, kanak-kanak yang kecil bersolat di dalam saf orang dewasa sedangkan rasul saw sentiasa memberi peringatan sebelum solat supaya kita meluruskan saf dan memenuhi saf yang kosong.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadan adalah bulan untuk bersedekah. Rasul saw sangat menggalakkan kita bersedakah dan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa .
Di dalam suatu khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah saw pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Salman r.a , maksudnya :
“Barangsiapa memberi makan bagi orang-orang yang berpuasa baginya keampunan segala dosa-dosa yang pernah dilakukan dan bebas dari api neraka serta baginya pahala tanpa ada pengurangan daripadanya sedikitpun.” Ada sahabat yang bertanya ; Wahai Rasulullah tidak semua dikalangan kami yang mampu memberi makan orang yang berpuasa ? Maka rasulullah saw menjawab : “ Allah mengurniakan pahala-pahala ini bagi sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa walaupun hanya dengan buah tamar, air minuman ataupun susu” .

Siding Jumaat yang berbahagia,
Mimbar hari ini juga mengingatkan para jemaah jangan menghabiskan masa yang terlalu lama dibazar Ramadan dengan membeli pelbagai juadah makanan yang akhirnya makanan itu dibuang sahaja.

Mimbar juga mengingatkan para muslimin supaya menggunakan waktu berbuka dengan membanyakkan doa kepada Allah swt kerana waktu berbuka adalah waktu yang mustajab doanya, janganlah kita habiskan masa ini dengan berbual-bual kosong atau melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Sidang Jumaat sekalian,
Dalam menjalankan amalan dan perkara kebajikan sesuatu yang paling disukai Allah ialah melakukan ibadat secara istiqamah. Istiqamah ialah melakukan sesuatu perkara secara berterusan dan berpanjangan bukan sahaja pada bulan Ramadan bahkan mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain.
Sekiranya kita perhatikan menjadi kelaziman atau kebiasaan masyarakat Islam masa kini, bila datangnya ramadan masjid penuh sesak dengan umat Islam, amalan tadarus atau membaca al-quran kedengaran di sana sini, amalan sedekah meningkat, ceramah-ceramah agama turut kedengaran di corong-corong masjid dan sebagainya lagi, tetapi apabila habis sahaja bulan ramadan, keadaan kembali seperti asal, masjid-masjid mula terus lengang, solat fardu tidak dilaksanakan di masjid atau di surau akibat ketiadaan jemaah, al-Quran mula dijadikan hiasan semula dan berbagai lagi fenomena yang amat mendukacitakan.
Maka di manakah tarbiah ramadan? Apakah ini dinamakan ibadat bermusim? tepuk dada tanyalah iman, Moga-moga kita tidak tergolong dalam kelompok ini insyaAllah.Marilah kita berdoa kepada Allah supaya memberi kekuatan kepada kita untuk istiqamah dalam melakukan ibadat dan tergolong dalam golongan yang disebut dalam ayatnya:
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" Kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, Maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang Telah dijanjikan Allah kepadamu".

Semoga kita menjadi golongan yang akan diampunkan oleh Allah S.W.T. hasil daripada amalan puasa penuh dengan keimanan insyaAllah seperti Sabda Nabi Saw yang bermaksud:
“ Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan harapan, diampunkan dosanya yang lalu dan akan datang."
Moga Allah menjauhi kita dari golongan yang tidak mendapat apa-apa kebaikan daripada dibulan rahmat dan pengampunan ini seperti sabda nabi SAW:
“Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja."
Disumbangkan oleh :
Masjid Negeri Sabah

0 Comments:

Post a Comment

<< Home