Siring Dinding

Saturday, October 07, 2006

Sekitar Pengkebumian Janazah Allahyarham Ustaz Umar Sidik

Jam 10 pagi itu, saya kembali semula ke rumah allahyarham. Ketika itu, orang ramai sudah mula menunggu janazah dimandikan sebelum disolatkan.
Paling ramai adalah dari kumpulan agamawan, guru-guru agama dari SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah dan rakan-rakan lama allahyarham di JHEAINS.
Solat janazah yang penuh sesak di rumah dipimpin oleh Ustaz Hj Md Iyen Atim sebelum dibawa ke Masjid Bandaraya, Likas untuk disolatkan sekali lagi selepas solat zuhur.
Di Masjid Bandaraya, solat janazah dipimpin oleh Datuk Hj Ahmad Othman, mantan timbalan Mufti Negeri Sabah dan disertai oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Hj Ahmad Shah Abdullah, mantan TYT Tun Sakaran Dandai bersama kira-kira 500 jamaah.
Bak kata seorang rakan yang hadir, apabila ulama' yang ikhlas meninggal dunia, semua ulama dan ustaz-ustaz berkumpul memberikan doa mereka kepada allahyarham.
Hujan lebat tengahari itu menyebabkan pengkebumian ditangguh sehingga jam 2 petang.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Kg Likas. Tun Sakaran dan Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Datuk Nasir Tun Sakaran menyertai acara pengkebumian itu yang dibacakan talqinnya oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim, salah seorang kenalan rapat beliau yang juga Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia cawangan Sabah.
Doa dipimpin oleh Ust Hj Ghazali Sulaiman. Acara berkenaan selesai sebelum jam 3 petang.
Kini, kita kehilangan seorang lagi tokoh ilmuan yang banyak berjasa kepada ummat ini. Al-Fatihah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home