Siring Dinding

Saturday, November 18, 2006

Khutbah : Perang Ahzab & Kaitannya Dengan Masakini

Sumbangan : Masjid Negeri Sabah untuk JHEAINS

Saudara-saudara Muslimin,

Pada bulan syawal seperti ini tahun ke 5 hijrah iaitu 1422 tahun yang lalu, umat Islam pada zaman Rasulullah saw, menghadapi ujian yang hebat; apabila mereka dikepung oleh bala tentera yang dikenali dengan nama Ahzab, jumlahnya melebihi umat Islam yang ada pada masa itu.

Bala tentera yang ditubuhkan hasil pakatan daripada golongan ahli kitab, golongan Yahudi yang membaca kitab, yang mengenali Nabi Muhammad saw dengan terang dan jelas. Golongan yang dinyatakan oleh Allah swt :

“Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka kitab, mereka itu mengenalinya ( iaitu mengenali Nabi Muhammad saw ), sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Tetapi mereka sengaja menyembunyikan kebenaran dalam keadaan mereka mengetahuinya. ( al-Baqarah : 146 )

Pemimpin-pemimpin Yahudi ini datang ke Makkah menemui pemimpin-pemimpin musyrikin Makkah untuk memberi semangat kepada golongan musyrikin supaya memerangi Rasulullah saw supaya menghapuskan Islam, penganut dan negaranya.

Maka bersekongkol dan berpakatlah golongan ahli kitab dengan pemimpin-pemimpin Makkah yang terdiri dari kalangan keluarga Rasulullah saw yang juga mengenali baginda saw sejak dilahirkan sehingga dilantik menjadi rasul. Mereka mengenali bukan sahaja namanya, bahkan mengetahui kebenarannya, mengetahui sifat amanahnya dan mengetahui akhlaknya yang mulia.

Golongan ahli kitab yang alim bersama dengan golongan musyrikin yang dekat hubungan keluarganya dengan Rasulullah saw mengadakan pakatan, bergabung dengan qabilah-qabilah Arab sehingga mereka berjaya mengumpulkan 10 ribu bala tentera yang lengkap dengan senjata peperangan pada masa itu. Mereka datang untuk menghapuskan Rasulullah saw, agama Islam yang dibawa dan negara Islam yang ditegakkan dan penganut-penganutnya.

Apabila datang musuh yang ramai, Rasulullah saw dan para sahabatnya terlebih dahulu menyediakan parit-parit yang menjadi pertahanan kepada kota Madinah. Bala tentera ahzab yang besar jumlahnya tidak boleh memasuki Madinah, kerana dihalang oleh bala tentera Islam dan parit-parit yang digali. Walaubagaimanapun jumlah tentera musuh yang ramai menjadi ujian kepada umat Islam pada zaman itu.

Keadaan ini telah menampakkan manusia bertalam dua muka, serta membersihkan orang-orang yang benar-benar beriman dari orang-orang munafiq. Allah swt menurunkan ayat-ayat al-Quran, mengisahkan perkara ini. Ayat-ayat ini diletakkan di dalam surah al-Ahzab, mengambil sempena peristiwa tersebut. Diantaranya Allah swt mendedahkan keadaan penduduk Madinah menghadapi peristiwa itu :

“Ingatlah apabila mereka itu ( iaitu musuh-musuh yang ramai ) datang untuk memerangi kamu dari atas dan dari bawah, dan ingatlah apabila adanya orang yang terbeliak mata hampir pitam kerana ketakutan dan ada orang-orang yang hampir menjeluakkan jantungnya keluar sampai ke halqum, dan mereka menyangka terhadap Allah dengan pelbagai sangkaan yang bukan-bukan. Di sana orang-orang mukmin diuji dan digoncangkan dengan sehebat-hebatnya. Dan ( ingatlah ) ketika orang-orang munafik dan orang-orang lemah imannya, ragu dan berpenyakit dalam hatinya berkata :"Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kita melainkan tipu daya sahaja." ( al-Ahzab : 10-12 )

Timbullah pelbagai persoalan dari kalangan orang ramai ketika itu : Allah dan Rasul menjanjikan bahawa Islam akan menang, Islam akan berjaya. Islam akan menguasai dunia. Bagaimana janji ini boleh berlaku ? Sekarang musuh yang ramai menyerang Madinah, hanya boleh bertahan dengan menggalikan parit, tidak boleh mengalahkan musuh-musuh itu. Bagaimana untuk berdepan dengan kuasa-kuasa besar dunia – Parsi dan Rum ? Dan bagaimana caranya untuk menyebarkan Islam lebih jauh ? Bagaimana untuk mendapat kemenangan ? Sedangkan Madinah sudah dikepung oleh bala tentera Ahzab.

Soalan-soalan ’bagaimana’ ini ditimbulkan oleh golongan munafiq dan dipercayai oleh golongan yang lemah imannya; yang hilang keyakinannya kepada Allah. Mereka ini menjadi duri dalam daging umat Islam. Golongan yang wujud dari kalangan umat Islam sendiri.

Sudahlah mereka menghadapi musuh ramai dari luar, gabungan ahli kitab dan pemimpin musyrikin yang lengkap dengan senjata, tiba-tiba dalam masyarakat Islam sendiri, golongan munafiq menonjolkan diri mereka. Golongan yang lemah iman terpengaruh dengan mereka. Inilah ujian yang dihadapi umat Islam pada masa itu.

Tetapi di sana ada orang-orang yang benar beriman; yang yakin dengan kebenaran Allah dan Rasul; yakin dengan kebesaran Allah swt yang Maha Berkuasa. Mereka bukan sahaja berpegang dengan Islam sekuat-kuat dan seteguh-teguhnya, bahkan mereka bersedia untuk mati bagi mempertahankan Islam.

Dengan penuh keyakinan dan kepercayaan, di hadapan mereka diletakkan 2 perkara : Sama ada mencapai kemenangan di dunia – Islam dapat ditegakkan memerintah, ataupun mereka mati syahid – masuk syurga yang dijanjikan oleh Allah swt. Allah swt mengabadikan golongan ini melalui firmanNya, juga dalam Surah al-Ahzab :

“Dan tatkala orang-orang yang beriman melihat kedatangan bala tentera Ahzab yang sangat ramai jumlahnya, mereka berkata : "Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita." Dan benarlah Allah dan RasulNya. Keadaan itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan iman yang lebih kuat dan penyerahan diri yang lebih bersungguh kepada Allah swt. Dikalangan orang-orang yang beriman itu ada beberapa orang lelaki yang benarlah janji mereka kepada Allah; ada diantara mereka yang telah mati dan bersedia untuk mati kerana menegakkan agama Allah. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu giliran untuk mati dan mereka tidak sekali-kali mengubah janji mereka kepada Allah swt.“ ( al-Ahzab : 22-23 )

Allah swt menyatakan, bahawa orang-orang yang beriman itu percaya kepada janji Allah swt. Percaya dengan kebenaran janji Allah dan RasulNya. Apakah dia janji Allah kepada mereka itu? Janji Allah swt ialah 2 perkara :

Yang pertama: apabila beriman, mesti diuji oleh Allah swt.
Yang kedua : Allah menjanjikan kemenangan di dunia dan di akhirat.

Saudara-saudara kaum muslimin,
Sesuatu yang pasti bahawa setiap orang yang beriman mesti diuji. Allah swt berfirman :

“Adakah kamu mengira, bahawa kamu dapat masuk syurga ? Padahal belum lagi datang kepada kamu ujian kesengsaraan dan penderitaan yang dialami orang-orang beriman pada zaman dahulu. Mereka diuji dengan sehebat-hebatnya; mereka digoncang dengan dahsyat sehingga berkatalah Rasul bersama dengan orang-orang beriman : Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat hampir.” ( al-Baqarah : 214 )

Itulah dia janji Allah. Janji bahawa setiap orang beriman diuji. Mereka berkata : ”Sekarang kita diuji dengan kedatangan bala tentera Ahzab. Kiita dicuba. Apabila kita diuji, musuh datang beramai-ramai untuk menyerang dan membinasakan kita, menunjukkan bahawa perjuangan kita benar. Perjuangan kita diredhai oleh Allah swt. Sekiranya tidak ada ujian, musuh tidak mengganggu dan mendiamkan diri menandakan perjuangan kita tidak betul. Sekarang kita diganggu oleh musuh. Mereka datang beramai-ramai; menandakan perjuangan kita benar.“

Mereka yakin atas kebenaran ini. Lalu mereka bangun bersama-sama Rasulullah saw. Barisan tentera bersekutu mulai berpecah-belah. Allah swt mengutuskan tenteraNya berbentuk angin kencang, mengirimkan malaikatNya menggoncangkan bumi di tempat mereka berpijak serta mencampakkan rasa gerun dan takut ke dalam jiwa mereka. Akhirnya Allah swt membinasakan bala tentera Ahzab yang besar Peristiwa yang diabadikan oleh umat Islam di dalam takbir hari raya :

"Wahazamal ahzaba wahdah"
”Dan Allah membinasakan tentera Ahzab dalam keesaannya“

Peperangan Ahzab bukanlah peperangan berbentuk pertarungan, tetapi ia adalah peperangan saraf. Begitulah ujian yang dialami oleh umat Islam bersama dengan Rasulullah saw pada zamannya. Ujian yang diabadikan di dalam al-Quran. Kita semua percaya, bahawa al-Quran adalah mukjizat yang hidup sehingga hari qiamat. Ujian yang diceritakan di dalam al-Quran akan dialami oleh umat Islam di sepanjang zaman termasuk pada zaman kita.

Kaum muslimin,

Hari ini sebenarnya, umat Islam telah dikepung oleh bala tentera Ahzab. Kuasa-kuasa besar dunia yang dipimpin oleh Amerika bukan sahaja menyerang Afghanistan, menyerang Iraq, membekalkan Israel Yahudi dengan senjata-senjata yang canggih, golongan kuffar menyerang umat Islam di Bosnia Herzegovina, golongan bekas komunis Rusia menyerang umat Islam di Chechnya, golongan hindu di India menyerang umat Islam di Kashmir, dan menyerang umat Islam di mana-mana sahaja, di Thailand, Filipina dan lain-lain. Umat Islam dibelasah dari luar dan dikepung.

Dalam masa yang sama di dalam masyarakat Islam sendiri wujud golongan-golongan munafiq. Golongan yang mengaku Islam dengan lidah mereka, tetapi tidak percaya kepada ajaran Islam. Mereka yakin dengan kekuatan kuasa besar dunia, mereka tidak yakin dengan kebesaran Allah swt.

Oleh kerana itu, musuh-musuh dari dalam bersedia untuk menjadi alat dan perkakas bagi menentang umat Islam di dalam masyarakat Islam sendiri melalui serangan pemikiran, yang telah disediakan oleh golongan kuffar yang menjajah sejak beratus-ratus tahun lamanya, bagi menghakiskan ajaran Islam yang masih ada di dalam diri umat Islam; membuang kefahaman Islam, membuang kepercayaan Islam melalui pendidikan dan pelajaran, melalui media massa, melalui tindakan terhadap program-program keagamaan yang dikepung dengan begitu rupa supaya tidak menanamkan iman yang subur di dalam diri umat Islam. Supaya melemahkan iman umat Islam sedikit demi sedikit, supaya umat Islam meninggalkan ajaran agama mereka sedikit demi sedikit.

Mereka memberi peluang kepada musuh-musuh Islam untuk melaksanakan agenda-agenda, program-program dan perancangan-perancangan yang melalaikan anak-anak muda kita dari agama supaya bergelumang dengan hiburan melampau yang dipenuhi maksiat, hiburan yang melekakan, permainan yang menyebabkan meninggalkan sembahyang, meninggalkan perintah agama, tidak menira halal dan haram; dalam masa yang sama, wujud golongan-golongan yang lemah iman di dalam masyarakat Islam yang merasakan tidak ada harapan bagi umat Islam untuk bangkit, tidak ada harapan bagi umat Islam tampil semula ke hadapan.

Hari ini kita melihat, dalam masa yang sama golongan-golongan yang beriman, golongan yang disebutkan oleh hadith Rasulullah saw yang bermaksud:

“ Akan sentiasa ada kelompok di kalangan umatku yang bangun mempertahankan agama ini, mereka tidak peduli dan tidak boleh dilemahkan oleh orang-orang yang menentang mereka sehingga datangnya urusan Allah yang menunaikan janjiNya.

Kemenangan kepada Islam, kebinasaan kepada kuffar, ini merupakan janji-janji Allah. Dan kita melihat, kumpulan-kumpulan umat Islam bangkit di Afghanistan, bangkit di Iraq, bangkit di Palestin dan Lubnan. Mereka mempertahankan agama dan negara mereka dengan senjata-senjata ringan, tidak dapat dikalahkan oleh musuh yang bersenjata besar. Mereka bangkit dengan senjata yang kecil, dengan kemiskinan, tidak dapat ditewaskan oleh kepungan musuh. Dalam masa yang sama, kumpulan-kumpulan Islam di seluruh dunia bangun menyatakan Islam di mana-mana sahaja sehinggalah datang urusan Allah.

Hanya golongan beriman akan tegak bersama golongan Islam, tenggelam timbul bersama Islam, rebah bangun bersama Islam. Adapun yang munafiq dan mereka yang lemah imannya, akan tercicir atau terjatuh di tengah jalan.

Marilah kita yakin dan percaya, kepada mukjizat al-Quran. Yakin dan percaya kepada janji Allah swt.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home