Siring Dinding

Sunday, December 31, 2006

Khutbah Eidul Adha JHEAINS 1427H

KHUTBAH HARI RAYA EIDUL ADHA 1427H
JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI SABAH (JHEAINS)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah, dan berkatalah dengan perkataan yang tepat dan benar (dalam segala perkara); supaya Allah memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu; dan mengampunkan dosa-dosa kamu; (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan”.

Kaum muslimin dan muslimat sekalian,

Marilah kita bersama-sama menghidupkan hari raya adha atau hari raya qurban, beserta para jamaah haji yang berhimpun di Tanah Suci Makkatul Mukarramah dan Mina.

Mereka datang dari seluruh pelusuk dunia, merentasi daratan, bukit bukau dan gunung ganang; mengharungi lautan dan udara. Mereka datang dari seluruh penjuru dunia - di mana sampainya cahaya matahari pada siang hari, dan sinaran bulan pada waktu malam, maka di situ memancarnya cahaya Islam. Benarlah sabda Rasulullah saw :

لَيَبْلُغَنَّ هذا االأَمْرُ ما بَلَغَ الَّيْلُ وَالنَّهَارَُ, ولا يَتْرُكُ اللهُ بَيْتَ مَدَرٍ وَلاَ وَبَرٍ, اِلاَّ أَدْخَلَهُ اللهُ هذا الدِّينَ, بِعِزِّ عَزِيزِِ أَوْ بِذُلِّ ذَلِيلٍ, عِزًّا يُعِزُّ اللهُ بِالأِسلامِ, وَذِلاًّ يُذِلُّ اللهُ بِهِ الكُفْرَ

“Demi sesungguhnya! Urusan agama ini pasti sampai di mana adanya siang dan malam; Allah tidak meninggalkan rumah penduduk di kawasan bandar dan yang tinggal di dalam khemah yang ditenun dari bulu binatang di padang pasir yang jauh, melainkan Ia menyampaikan seruan agama ini ke dalamnya; sama ada dengan melalui kemuliaan orang yang mulia, atau kehinaan orang yang hina. Kemuliaan yang Allah muliakan Islam dengannya, dan kehinaan yang menimpa kekufuran” (Hadith Riwayat Jamaah dan Ibnu Hibban)

Sabda Nabi saw ini menjadi kenyataan kerana Islam sampai ke seluruh pelusuk dunia. Penganut Islam didapati di seluruh pelusuk bumi termasuk di negara yang menghalang dakwah Islam, dan membunuh penganutnya.

اَللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Hari ini wakil-wakil umat Islam dari seluruh negara berkumpul di Makkah, menyahut seruan Allah swt yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim alaihissalam. Firman Allah swt di dalam surah al-Hajj ayat 27-29:
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Allah menyahut seruanmu itu dalam keadaan berjalan kaki, dan berkenderaan unta yang kurus (kerana jauhnya perjalanan); yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh; supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka, serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya dengan binatang-binatang peliharaan (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang-orang yang susah, yang fakir miskin. Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu".

Saudara-saudaraku, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Menyahut seruan Nabi Ibrahim alaihissalam bukan sahaja dengan menunaikan haji dan menyembelih binatang qurban, bahkan juga mengikut contoh teladan, dan menjadi orang Islam yang sebenar, kerana Allah swt berfirman :

”Dan tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi dan rasul) di dunia; dan sesungguhnya pada hari akhirat kelak pastilah ia termasuk dari kalangan orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Islamlah! Yakni berserah dirilah kepada Allah!" Nabi Ibrahim menjawab: "Saya Islam! Yakni berserah diri, tunduk dan taat kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam". Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berpesan kepada anak-anaknya), katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam". (al-Baqarah : 130-132)

اَللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Nabi Ibrahim alaihissalam, menunjukkan contoh Islam yang sebenar, iaitu menyerah diri secara tauhidul ibadah iaitu memperhambakan diri hanya kepada Allah yang Maha Esa, dan menolak syirik iaitu mensekutukan Allah swt dalam segala rupa dan bentuk, serta bersedia berkorban dengan ikhlas walaupun dihalang oleh ayah yang dikasihi yang sesat, dan kerajaan kuasa besar yang zalim.

Tiada kesalahan yang dilakukan Nabi Ibrahim alaihissalam, melainkan kerana beriman kepada Allah secara tauhid dan menolak syirik dalam segala rupa dan bentuk; sama ada menyembah berhala, atau mematuhi kerajaan yang mengaku merampas kekuasaan Allah, maka Nabi Ibrahim alaihissalam dipaksa meninggalkan tanahair dan keluarga.

Perkara ini menjadi ujian pertama kepada baginda Nabi Ibrahim, sama ada memilih keimanan kepada Allah, dan Islam kerana Allah, atau memilih tanahair yang kaya tetapi pemimpinnya zalim dan juga ayah yang dikasihi tetapi sesat.

Ujian hidup adalah menjadi penentuan kepada setiap orang yang beriman sehingga hari kiamat kerana Allah berfirman di dalam surah al-Ankabut :

”Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (al-Ankabut : 2)

اَللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Setelah berjaya dalam ujian sehingga tidak tunduk kepada sesiapa sahaja yang menentang Allah, tiba-tiba Nabi Ibrahim alaihissalam diuji pula agar menunaikan perintah Allah swt supaya menyembelih anak kesayangannya. Firman Allah di dalam surah As-Soffat :

“Maka ketika anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi yang benar, bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayahku yang dikasihi, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati saya termasuk dari kalangan orang-orang yang sabar". Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya, dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (dengan kesungguhan azamnya telah menjalankan perintah Allah), lalu Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu termasuk kalangan dari hamba-hamba Kami yang beriman”. (as-Soffat : 102-111)

اَللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Saudara-saudaraku sekalian yang dikasihi Allah,

Kisah ini menjadi pengajaran kepada orang-orang yang beriman dengan sebenarnya, dan mereka yang mendapat hidayah Allah, agar bersedia melaksanakan perintah Allah semuanya sekali yang dinamakan Islam.

Adapun orang yang tidak mendapat hidayah daripada Allah, memandang kisah ini dengan penuh persoalan dan keraguan. Sesetengah orang Islam sendiri, walaupun mendakwa diri mereka orang yang bijak atau cerdik pandai yang berkelulusan yang tinggi, tetapi menolak hukum-hukum Allah kerana tidak boleh dicapai oleh akal fikiran mereka yang sesat kerana tidak dipandu oleh Islam yang ditunjukkan contohnya oleh Nabi Ibrahim alaihissalam.

Di kalangan mereka, ada yang menolak ajaran Islam yang tidak boleh difikir dengan akal, dan hanya boleh menerima sebahagian perkara Islam yang boleh diterima oleh akalnya sahaja, dengan alasan beramal dengan Islam yang boleh menerima kemajuan dan menolak ajaran Islam yang menghalang kemajuan.

Atau menolak hukum Allah azza wa jalla dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw yang difikirnya tidak membawa keuntungan dan kesenangan hidup di dunia. Atau menerima dan menolak hukum hanya mengikut kesukaannya semata-mata. Berpuasa tapi meninggalkan sembahyang, suka bersedekah tapi tidak menunaikan zakat, berniaga tetapi mengambil riba, rajin membaca al-Quran tetapi tidak mengambil hukum yang terdapat di dalamnya dan sebagainya. Allah menyatakan bahawa orang sebegini adalah pengikut-pengikut syaitan. Firman Allah :

”Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhannya, dengan mematuhi segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. (al-Baqarah:208)

اَللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Saudaraku muslimin dan muslimat,

Hari ini kita menghidupkan sejarah Nabi Ibrahim alaihissalam dan keluarganya yang mendapat petunjuk Allah ke jalan yang benar, menegakkan kalimat taqwa yang ditegaskan oleh Allah dengan firmanNya, maksudnya:
”Dan ingatlah ketika orang-orang kafir menanamkan ke dalam hati mereka kesombongan iaitu kesombongan jahiliah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa dan merekalah orang-orang yang sebenar berhak dengannya dan yang berhak memilikinya dan adalah Allah itu Maha Mengetahui segala sesuatu. (Surah al-Fath: 26)

Kalimah taqwa itu ialah Lailahaillallah, dengan menegakkan tauhid dan menolak syirik. Dengan menegakkan kalimah ini dengan cara yang sebenarnya, Ibrahim alaihissalam dihumban ke dalam api besar, dihalau oleh ayah sendiri dan kerajaan yang memerintah pada zaman itu.

Ibrahim alaihissalam membuktikan kalimah itu ditegakkan di dalam dirinya dengan melaksanakan perintah Allah walaupun perintah itu menyembelih anak kesayangannya, Ismail alaihissalam.

Marilah kita membuktikan kesetiaan kita kepada kalimah taqwa, yang menegakkan tauhid dan menterjemahkannya melalui amalan dan perjuangan dengan penuh pengorbanan harta dan jiwa raga sama ada ketika Islam disanjung ataupun pada saat Islam ditentang oleh musuhnya dari luar dan dalam.

Adapun musuh dari luar ialah musuh yang nyata kekufurannya dan permusuhannya secara terbuka, mereka yang menyerang tanah air umat Islam, membunuh umat Islam secara terbuka, merobohkan masjid dengan cara terang-terangan, merompak harta umat Islam dan merosakkan zuriat keturunan mereka dengan menyebarkan zina yang melahirkan anak-anak yang dibuang ke dalam tong sampah.

Musuh dari dalam ialah orang munafiq yang berpura-pura Islam dan bercampur dengan masyarakat Islam bahkan boleh jadi dari bangsa dan bahasa yang sama tetapi menjadi alat kepada musuh-musuh Islam bagi merosakkan umat Islam dari dalam diri mereka sendiri.

اَللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Muslimin dan muslimat yang dikasihi Allah,

Dengan taqwa jugalah yang dapat membenteng diri kita dari terjebak dengan pelbagai sifat atau perilaku yang jahat. Tanpa mempertikai kemampuan pihak berkuasa dan kecekapan pasukan keselamatan dalam memelihara keamanan dan membanteras jenayah yang berlaku, sebenarnya taqwalah benteng paling ampuh untuk mendidik kita agar patuh kepada Islam dan menjauhkan diri dari segala larangan Islam.

Indeks jenayah terus meningkat, gejala murtad dan ajaran sesat yang membimbangkan, rasuah semakin merebak, jenayah bunuh yang mengerikan, rompak dan samun dilaporkan setiap hari, zina dan khalwat dianggap perkara biasa, umat Islam dan bangsa Melayu menjadi senarai penagih dadah tertinggi, suburnya hiburan yang melampau, gejala mat rempit yang menjadi-jadi dan pelbagai lagi gejala keruntuhan akhlak dan moral yang sentiasa bertambah mengiringi jenayah yang sedia ada dalam masyarakat kita.

Marilah kita membantu mengurang dan menghapuskan jenayah dan semua perlakuan tercela ini; salah satunya dengan meningkatkan ketaqwaan dan keimanan dalam diri seperti iman dan taqwa yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim alaihissalam.

Marilah kita percaya dan yakin dengan hari akhirat yang pasti berlaku; bahawa hari itu semua amalan kita di dunia ini akan diperlihatkan dan dibalas oleh Allah swt. Firman Allah :

”Dan ’buku catatan amalan’ juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tercatat di dalamnya; dan mereka akan berkata:"Aduhai celakanya kami! Mengapa buku ini demikian keadaannya? Buku ini tidak meninggalkan perbuatan kami yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!"; dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia tertulis di dalamnya; dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun”(al-Kahfi:49)

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِي القُرْاَنِ الْعَظِيْمِ , وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِالآَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهَ , إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمَ . أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِى وَلَكُمْ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ .


Khutbah Kedua

الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, وللهِ الحمدُ.

اَلحمدُ للهِ الَّذِى هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِىَ لَوْ لاَ أَنْ هَدَانَا اللهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ, صَدَقَ وَعْدَهَ, وَنَصَرَ عَبْدَهُ, وَأَعَزَّ جُنْدَهُ, وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى محمدٍ وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ. أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوا اللهَ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

"Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar". (At-Taubah : 119)

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Agama Islam dapat diumpamakan seperti pokok kayu. Sepohon pokok kayu mempunyai bahagian yang tidak dapat dilihat, iaitu bahagian yang terunjam masuk ke perut bumi di bawah tanah yang dinamakan akar. Terdapat pula bahagian yang dapat dilihat, iaitu bahagian yang muncul menjulang ke atas permukaan bumi yang dinamakan batang, dahan, ranting dan sebagainya.

Agama Islam diumpamakan seperti sebatang pokok kayu kerana mempunyai 2 ajaran :

Ajaran pertama adalah mengenai kepercayaan dan keyakinan yang dinamakan dengan rukun iman. Banyak yang harus dipercayai oleh orang Islam tetapi yang dasar hanyalah 6 perkara seperti yang kita ketahui dalam rukun iman.

Di samping rukun iman yang 6 perkara itu, setiap orang Islam di dalam hidupnya harus menjalankan atau melakukan 5 perkara yang dinamakan rukun Islam.

Islam seperti pokok kayu. Rukun iman sebagai urat atau akar, sedangkan rukun Islam sebagai batang, dahan dan ranting. Dengan itu, kita ketahui bahawa walaupun kedua-duanya penting, rukun iman mempunyai kedudukan yang lebih utama dari rukun Islam.

Apabila urat atau akar kayu tidak hidup, tidak kuat, tidak terunjam jauh ke perut bumi, atau akar itu tidak mendapatkan tanah yang subur atau kurang dipupuk, maka akibatnya pokok kayu itu akan hidup merana atau mati sama sekali. Kalaupun hidup, ia akan kelihatan tidak subur. Apabila ia berdaun atau berkembang, daunnya akan mudah berguguran bila ditiup angin sedikit sahaja. Akar kayu yang tidak kuat menyebabkan batang kayu tidak berbuah dan tidak berguna.

Muslimin muslimat jamaah sekalian,

Begitu pulalah keadaan orang Islam yang tidak beriman, atau lemah imannya kerana tidak dipupuk atau dipelihara. Dirinya tidak memberi perhatian untuk melakukan ibadah yang dinamakan rukun Islam dan juga amal ibadat yang lain. Orang yang beragama Islam yang tidak melakukan ibadah, agamanya ibarat pokok kayu yang tidak berbuah.

Jadi, apabila kita dapati sekarang, ramai orang Islam yang tidak menunaikan solat, tidak berpuasa Ramadhan, tidak mengeluarkan zakat sekalipun dia orang kaya dan hartawan, tidak mengerjakan haji walaupun mampu dan berkuasa, apatah lagi kalau ada orang Islam yang rosak akhlak dan budi pekertinya, itu semua adalah kerana lenyap atau lemahnya iman di dada mereka.

Salah satu anjuran agama Islam untuk memupuk dan menyuburkan keimanan ialah dengan melakukan ibadah qurban ataupun udhiyah pada hari raya adha dan hari-hari tasyriq. Ibadah ini hukumnya sunat muakkad bagi bagi orang yang mampu melakukannya dan makruh jika meninggalkannya. Walaubagaimanapun, bagi orang yang benar-benar tidak mempunyai kemampuan, tidaklah perlu memaksakan dirinya untuk berqurban. Apabila ia mempunyai niat yang bersungguh-sungguh untuk berqurban apabila ia mampu kelak, maka ia juga mendapat pahala sama seperti orang yang mampu melaksanakannya.

Tentang kelebihan ibadah ini, para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah saw :

”Ya Rasulullah! Apakah udhiyyah itu? Jawab baginda saw : Itu adalah sunnah bapamu Nabi Ibrahim. Sahabat bertanya : Apakah yang kita akan perolehi dari udhiyyah itu? Jelas Nabi saw : Pada setiap helai bulu (dari binatang yang disembelih) kita akan mendapat 1 kebajikan (Hadith Riwayat Ahmad & Ibnu Hibban).

Rasulullah juga mencela orang yang sengaja tidak mahu melakukan ibadah qurban dengan sabdanya yang bermaksud :

“Sesiapa yang diberikan kemudahan sehingga mampu berqurban, tetapi ia tidak berqurban, maka janganlah ia mendekati tempat solat kami ini” ( Hadith Riwayat Ahmad & Ibnu Majah )

Ibadah ini mempunyai tujuan dan hikmah yang sangat besar, membuktikan ketaqwaan kita kepada Allah, menyemai sifat kesatuan dan perpaduan umat Islam, tolong menolong, dan kasih kepada orang susah dan memerlukan, dan sebagainya.

Marilah kita berazam untuk menegakkan ibadah ini, begitu juga menanam kesungguhan untuk menunaikan fardhu haji tanpa meminggirkan kewajiban agama yang lain yang ditetapkan oleh Allah swt. Dalam masa yang sama, kita hendaklah memperkukuh Islam dan iman dalam diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Seorang sarjana Islam pernah mengatakan :

”Tegakkanlah Islam di dalam diri kamu, nescaya ia akan tegak di bumi kamu”

إِنَّ اللهَ وَمَلآَئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى النَّبِىِّ, يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آَمَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى محمدٍ وَعَلَى آَلِ محمدٍ, كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آَلِ إِبْرَاهِيمَ. وَبَارِكْ عَلَى محمدٍ وَعَلَى آَلِ محمدٍ, كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبرَاهيمَ وَعَلَى آَلِ إِبرَاهِيمَ فِى العَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ الأَحْيَآءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوْبَنَا وَذُنُوْبَ وَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا. رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاَّ لِلَّذِيْنَ آَمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَّحِيْمٌ.

أللهم اَنْزِلِ الرَّحْمَةَ وَالْمَغْفِرَةَ وَالسَّكِينَةَ وَالْهِدَايَةَ اِلى صَاحِبِ المَعَالِى توان يع تراوتام يع دفرتوا نكري سابه
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ, وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ, وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ وَالظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ. اَللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِى نُحُوْرِ أَعْدَآئِنَا وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ. اَللَّهُمَّ رُدَّ كَيْدَهُمْ عَلَى نُحُوْرِهِمْ.
اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ, وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. فَيَا مُنْزِلَ الكِتَابِ مُجْرِيَ السَّحَابِ و هاَزِمَ الأَحْزَابِ! اهْزِمْهُمْ و انْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.
اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا الْمُجَاهِدِيْنَ وَالْمُسْتَضْعَفِيْنَ فِى فَلَسْطِيْنَ, وَفِى شِيْشَانْ, وَفِى العِرَاقِ, وَفِى كَشْمِيْر, وَفِى كُلِّ مَكَانٍ. اَللَّهُمَّ قَوِّ عَزَائِمَهُمْ, وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ, وَثَبِّتْ أَقْدَامَهُمْ, وَانْصُرْهُمْ عَلَى أَعْدَآئِهِمْ.
اَللَّهُمَّ آَتِ أَنْفُسَنَا تَقْوَاهَا, وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا, أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهاَ. اَللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ, وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ.
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ . رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا. رَبَّنَا آَتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ. وَالْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

اَللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, اللهُ أكبرُ, وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

0 Comments:

Post a Comment

<< Home