Siring Dinding

Sunday, December 31, 2006

Khutbah : Menutup Aurat Tuntutan Islam


Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Bagi melengkapkan ketaqwaan kita kepada Allah swt, marilah kita mendengar firman Allah swt, yang mengingatkan kita supaya menjaga diri dan keluarga; sentiasa berada di dalam batas sempadan Allah swt; yang menentukan kita selamat di dunia dan akhirat. Firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka; umpan dan bahan bakar api neraka itu terdiri dari manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar layanannya; mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (at-Tahrim : 6)

Ayat ini mewajibkan diri kita agar menjaga diri kita, dan kaum keluarga kita; yang terdiri dari anak isteri kita, supaya jangan melakukan perkara-perkara maksiat yang menjadi larangan Allah swt.

Jangan tergelincir daripada batas sempadan yang ditentukan oleh Allah swt. Sekiranya tergelincir, boleh menghumbankan diri ke dalam neraka dan dibakar menjadi umpan api neraka.

Kaum muslimin muslimat sekalian,

Diantara gejala maksiat yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah keberanian mendedahkan aurat dan menutup aurat secara bohong dan menipu Islam dan menipu Allah swt.

Marilah kita mengikut batas sempadan yang ditetapkan oleh Allah swt sama ada lelaki ataupun perempuan; mu’minin atau mu’minah. Wajib mengikut batas-batas aurat yang ditetapkan oleh Allah swt; terutamanya bagi kaum wanita yang mudah terpengaruh sebagaimana mudahnya Hawa’ dipengaruhi oleh iblis pada awal kehidupan manusia.

Rasulullah saw menunjukkan garis panduan dalam perkara aurat apabila Asma’ binti Abu Bakar radiallahu anhuma masuk ke rumah Rasulullah saw untuk menziarahi adiknya Aisyah radiallahu anha dan baginda Rasulullah saw.

Asma’ memakai pakaian yang nipis dan menampakkan susuk tubuh badannya, lalu Rasulullah saw memperlihatkan sikap murkanya dan berpaling ke arah lain, lalu baginda bersabda kepada Asma’ :

”Sesungguhnya perempuan yang sepertimu ini hendaklah memakai pakaian yang tidak seperti ini. Allah swt mengizinkan kamu menzahirkan di sini dan di sini (iaitu muka dan kedua tangan kamu)”

Inilah kesopanan yang diajar oleh Allah swt. Segala perintah Allah mengandungi hikmah dan kebaikan yang sangat besar. Kebaikan yang kembali kepada diri manusia. Allah swt tidak berhajat dan tidak memerlukan apa-apa faedah daripada hukum syariat yang diturunkan kepada kita.

Semua faedah daripada syariat adalah kembali kepada hambaNya. Sekiranya hambaNya tidak mematuhi hukum syariat, segala mudharat dan akibat akan menimpa diri mereka sendiri; sama ada dalam kehidupan dunia dan dalam neraka pada hari akhirat. Firman Allah swt :

”Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga....” (Al-Isra : 7)

Pakaian yang berkait dengan aurat, adalah pakaian untuk menjaga maruah diri manusia, menjaga akhlak mereka, menjaga keselamatan mereka, menjaga kemuliaan mereka, yang diberi oleh Allah swt.

Jamaah yang dikasihi Allah,

Akhir-akhir ini, terdapat kelonggaran dan kelekaan dalam kehidupan kita. Ada di kalangan suami dan ibu bapa membenarkan atau membiarkan anak-anak dan ahli keluarganya mendedahkan aurat. Dan ada yang menutup aurat secara menipu. Memakai pakaian yang ketat, yang menampakkan susuk tubuh badannya.

Ada pula yang menutup aurat secara bermusim atau berpilih. Menutup aurat hanya pada hari jumaat, atau ketika masuk ke dalam masjid, atau ketika majlis kematian, majlis keagamaan atau ketika menunaikan haji atau ketika sembahyang sahaja. Mereka kembali mendedahkan aurat dan membuang pakaian Islam pada masa yang lain, ketika ke pejabat, ketika membeli belah, ketika melancong ke luar negara, ketika bersukan dan beriadhah dan sebagainya. Seolah-olah ajaran Islam ini ada hadnya, hanya sesuai pada hari-hari tertentu sahaja.

Adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika semua jemaah haji wanita 'berkelubung' dan menutup aurat di Tanah Suci. Yang menghairankan jika ada jemaah wanita yang tidak bertudung litup ketika di sana.

Di pentas sukan pula terutama di peringkat antarabangsa, tidak menghairankan jika semua peserta wanita bagaikan tidak cukup kain ketika mengambil bahagian. Yang menghairankan ialah jika ada wanita berpakaian menutup aurat seperti yang ditunjukkan oleh Ruqayyah al-Ghassara – pelari pecut muslimah daripada negara Bahrain yang memenangi emas larian 200 meter dalam Sukan Asia yang baru seminggu berlalu.

Marilah kita mengambil kesempatan bermuhasabah diri; adakah jika kita berada di tempatnya, mampu untuk melaksana dan mempertahankan Islam dan mencontohi insan-insan gemilang seperti Ruqayah Al-Ghasara. Dalam dunia mencabar hari ini, tidak ramai orang Islam seperti Ruqayah yang mengaku Muslim yang mampu mempertahankan ajaran Islam secara praktikal.

Ruqayah telah membuktikan bahawa menutup aurat, bukan menjadi penghalang untuknya menjadi seorang juara. Menunaikan kewajiban sebagai muslimah yang taat bukan menjadi alasan untuk tidak berjaya sebagai seorang ahli sukan.

Kita percaya, untuk menjadi Ruqayah yang muncul di kaca TV dan dada-dada akhbar sebagai seorang juara lengkap dengan identiti muslimahnya, pasti melalui 1,001 ranjau dan duri. Biarlah Ruqaya menjadi model baru dan contoh kepada anak-anak gadis dalam bidang sukan.

Tidak salah untuk bersukan - renang, gimrama, larian pecut, bola jaring, bola tampar pantai atau acara-acara lasak - semuanya boleh dengan syarat mematuhi syariat agama. Percayalah, bahawa Islam mempunyai jalan penyelesaian kepada semua cabaran ini kerana Islam sesuai pada sepanjang zaman.

Saudara-saudara sekalian,

Semua perkara tentang membuka aurat dan mengabaikannya telah diberi oleh amaran oleh Rasulullah saw dalam hadith sohih dari Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan lain-lain. Sabda Rasulullah saw :

صِنْفانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا : قَومٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمَيِّلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُؤُسَهُنَّ كَأَسْنَةِ البُخْتِ الْمَاِئلَةِ لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيْحَهَا وَإِنَّ رِيْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ كَذَا وَكَذَا

”Dua jenis manusia yang akan menjadi ahli neraka, yang aku tidak sempat melihat mereka, (kerana tidak ada pada zamanku. Mereka akan zahir pada akhir zaman). Yang pertama ialah kaum yang memegang alat sebatan seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia, (supaya melakukan kezaliman). Golongan yang kedua ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, pakaian yang menggoda, pakaian yang nipis, pakaian yang ketat; di atas kepala mereka dihias. Rambutnya laksana bonggol-bonggol unta. Mereka tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium baunya pun, sesungguhnya bau syurga dapat dihidu dari jarak yang jauh”.

Begitulah amaran Rasulullah saw dalam perkara aurat.

Adakah kita merasakan kulit kita, kulit isteri kita, dan kulit anak-anak kita kebal dan tahan, boleh menghadapi neraka? Adakah kulit kita lebih keras daripada batu, dan lebih kukuh daripada besi, sehingga kita berani dan sanggup membuka aurat, dalam keadaan yang dilarang oleh Allah swt?

Sedangkan kita yang lemah ini, merasa sakit apabila berhadapan dengan api dunia yang sedikit, apakah kita berani mencabar api neraka Allah di akhirat kelak? Sekiranya selama ini kita berpendirian, bahawa dengan menutup aurat atau berpegang dengan Islam, kita akan kalah dan lemah, marilah kita memegang pendirian dengan membuktikan bahawa dengan Islamlah kita akan menjadi kuat dan mulia di sisi Allah swt. Marilah kita bersama-sama meneguhkan sifat taqwa dan gerun kepada azab Allah dalam perkara ini.

”Dan tidaklah wajar bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (mereka tidak) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka; dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata” (al-Ahzab : 36)

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِي القُرْاَنِ الْعَظِيْمِ , وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِالآَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهَ , إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمَ . أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِى وَلَكُمْ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ .

0 Comments:

Post a Comment

<< Home