Siring Dinding

Wednesday, February 07, 2007

Khutbah Jumaat 11 Jan 07 : Nikmat Dunia Menjadi Jambatan Ke Akhirat

الْحَمْدُ للهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِىَ لَهُ.

أَشهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِى وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ . وَأَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ وَصَفِيُّهُ مِنْ خَلْقِهِ وَخَلِيلُهُ، بَلَّغَ الرِّسَالَةََ وَأَدَّى الأَََمَانَةَ وَنَصَحَ الأمَّةََ وَجَاهَدَ في اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ حَتَّى أَتَاهُ اليَقِين.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى حَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا محمدٍ أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ, وَعَلَى آَلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْد , فيا عباد الله! أوصيكم و إيّاي بتقوى الله عزّ و جلّ فقد فاز المتّقون.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil pengajaran, dari peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah saw, apabila mereka yang telah selesai menunaikan ibadat haji di Makkah, mengambil peluang untuk berdoa kepada Allah swt. Sama ada mereka yang telah lama memeluk Islam, atau yang baru memeluk Islam. Termasuk juga mereka yang ada di dalam dirinya perangai-perangai jahiliyyah. Semuanya percaya kepada Allah swt.

Selepas menunaikan ibadat haji di bumi Allah yang suci dan mulia, mereka mengambil peluang berdoa kepada Allah swt.

Sayangnya, sebahagian dari mereka, hanya berdoa dengan tujuan dunia semata-mata, tanpa mengira tujuan kehidupan akhirat. Maka Allah swt menurunkan firmanNya :

”Kemudian, apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! berilah kami kebaikan) di dunia". (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka". Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat perhitunganNya. (al-Baqarah:200-202)

Ayat ini memberi petunjuk kepada kita, walaupun kita hidup di alam dunia ini, menikmati segala perkara yang ada di dalamnya, semuanya itu adalah pemberian Allah swt. Dalam masa yang sama, kita hendaklah menyedari bahawa kehidupan kita ini tidak berakhir di dunia sahaja. Kita akan kembali ke alam akhirat.

Saudara-saudara sekalian,
Allah swt menjadikan dunia ini, tempat manusia menyediakan bekalan menuju perjalanan yang jauh. Perjalanan menuju ke alam akhirat setelah kita meninggal dunia. Masuk ke dalam lubang kubur dan nantinya akan dibangkitkan semula. Kemudian mengalami kehidupan yang panjang selama-lamanya. Ada yang masuk syurga selama-lamanya; dan ada yang dihumban ke dalam neraka dan tinggal selama-lamanya.

Maka manusia hendaklah mengambil kesempatan, dari peluang yang ada di atas dunia ini, untuk mencari bekalan menuju akhirat. Dan Allah swt, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang menjadikan bekalan untuk alam akhirat itu, bukan sahaja perkara-perkara ibadat khusus, yang dilakukan oleh manusia ketika mengabdikan diri kepada Allah swt, malahan, semua perkara-perkara yang ada di dalam dunia ini adalah merupakan bahan-bahan yang boleh dimanfaatkan oleh manusia untuk menuju ke akhirat. Menjadi jambatan menuju ke syurga, bukannya menjadi jambatan ke neraka.

Bahkan dalam diri manusia sendiri, segala akal fikiran, segala tenaga, segala kesihatan, dan segala masa umur yang diberi oleh Allah swt, merupakan peluang dan bahan untuk bekalan menuju ke akhirat.

Bahan dunia yang disediakan oleh Allah, yang merupakan rezeki ruh dan jasad, rezeki ruh ialah iman dan akhlak yang mulia. Rezeki jasad ialah segala makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Semua bahan-bahan ini, boleh dipanjangkan untuk menuju ke akhirat.

Pahala diberi oleh Allah, apabila kita meninggalkan maksiat dan perangai-perangai buruk yang diharamkan oleh Allah. Pahala diberi oleh Allah, apabila kita menunaikan nafqah yang wajib kepada kaum keluarga kita. Pahala diberi oleh Allah, apabila kita menggunakan segala yang halal, yang diizin oleh Allah. Pahala diberi oleh Allah apabila kita meninggalkan makanan haram, minuman haram, pakaian haram dan lain-lain yang diharamkan oleh Allah swt kerana pahala diberikan apabila kita menunaikan yang wajib, meninggalkan yang haram. Pahala diberi apabila kita mengerjakan perkara sunat, meninggalkan yang makruh. Pahala diberi apabila kita mengerjakan perkara yang diboleh dan diizinkan oleh Allah swt.

Sebenarnya terlalu banyak bahan yang boleh digunakan untuk menjadi jambatan ke syurga, ke alam akhirat. Tetapi ramai di kalangan manusia yang lalai dan leka. Bukan sahaja mereka mabuk dengan kesenangan dunia, bahkan menjadikan bahan-bahan di dunia menjadi jambatan menuju ke neraka.

Marilah kita, dari ayat yang disebutkan tadi, dijadikan hidayah dan petunjuk, yang masuk ke dalam hati kita, bukan sahaja kita menggunakan akal dan tenaga yang dikurniakan oleh Allah untuk menunaikan yang wajib serta mencari yang halal; dalam masa yang sama kita memohon pertolongan Allah swt, supaya memberi hidayah kepada kita, melihat yang baik, yang benar dan yang halal lalu mengambilnya. Memandang yang haram, buruk dan maksiat lalu menjauhinya serta memohon kepada Allah memberi kekuatan untuk menunaikan perintahNya sepenuhnya supaya kita selamat di dunia dan di akhirat.

”Adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah". Dan apakah engkau dapat mengetahui, apa dia "Haawiyah" itu? (haawiyah itu ialah): api yang panas membakar”. (al-Qariah:6-11)


بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِي القُرْاَنِ الْعَظِيْمِ , وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِالآَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهَ , إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمَ . أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِى وَلَكُمْ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ .

0 Comments:

Post a Comment

<< Home