Siring Dinding

Wednesday, February 07, 2007

Khutbah Jumaat 5 Januari 2007 ; Pendidikan Agama Benteng Terbaik

Pendidikan Agama Benteng Terbaik
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ
وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Jamaah Jumaat sekalian,
Marilah kita menanam keazaman yang tinggi untuk dalam memperbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt. Agar seluruh kehidupan kita ini mendapat keredhaan, keberkatan dan kemenangan di sisi Allah swt.

Saudara-saudara sekalian,
Beberapa minggu ini, kita melihat, atau menonton di kaca tv, membaca di dada akhbar atau mendengar cerita kawan dan kenalan, tentang musibah banjir yang berlaku dibeberapa tempat di negara kita termasuklah di utara negeri kita sehingga mengorbankan nyawa.


Selain kita memaklumi proses pergerakan cuaca dan sebagainya, janganlah kita lupa bahawa di sana adanya kelemahan di pihak manusia, lalu berlakulah campurtangan daripada Allah swt yang tujuannya untuk menyedarkan kita, atau mengingatkan kita, atau mendidik kita atau mungkin menghukum kealpaan kita terhadap tanggungjawab kita kepada Allah swt. Firman Allah swt :

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. (Ar-Ruum : 41)

Sesuatu yang mesti kita ingati, dalam menghadapi musibah hujan lebat dan banjir yang melanda, jangan kita lupa akan 'banjir lebih besar' iaitu keruntuhan akidah, murtad, maksiat, dadah dan rasuah yang kini sedang melanda umat Islam.

Mangsa yang mati ditenggelami air adalah syahid akhirat tetapi yang mati dalam 'banjir' murtad, rasuah dan aneka maksiat lain akan menerima hukuman daripada Allah swt sehingga menyebabkan masuk ke dalam api neraka. Banjir besar yang melanda beberapa negeri di negara kita adalah satu musibah daripada Allah SWT yang ditimpakan ke atas semua orang, tidak ke atas orang zalim atau jahat saja.

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). dan ketahuilah Bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Saudara-saudara Sidang Jumaat sekalian,
Persoalannya, kenapa dan mengapa ummat ini mengalami kemerosotan yang amat parah dan sangat kritikal? Malah kenapa ummat ini terperangkap dalam kancah yang merosakkan prinsip aqidah mereka, melunturkan nilai akhlak dan moral mereka jua mengheret mereka dalam konflik perasaan dan polemik jiwa yang tidak berkesudahan.

Keadaan ini telah memaparkan satu landskap kehidupan ummat yang sangat menghiris dan memilukan perasaan kita yang masih memiliki selembar iman.

Terdapatnya institusi keluarga yang porak peranda. Ibubapa sibuk memburu kemewahan dunia sementara anak terabai tanpa didikan dan asuhan yang sempurna. Hilang kasih sayang, lekang kemesraan dan hancur adab susila. Keluarga sedemikian hanyalah melahirkan anak yang liar tanpa kawalan, isteri durhaka tanpa rasa hormat kepada suami dan ketua keluarga yang tidak bertanggungjawab tanpa rasa bersalah. Remaja tanpa jatidiri.

Dunia mereka hanya dilingkari hiburan dan rakan sebaya yang tidak membantu pertumbuhan jati diri yang berwibawa dan bertaqwa. Masa depan mereka terumbang ambing laksana langkah kaki mereka yang tidak berketentuan. Malah ramai yang terjebak dalam dunia maksiat yang keji dan jenayah yang jijik. Mereka menyumbang kepada peningkatan taraf index jenayah yang menggugat rasa aman dalam negara.

Aktiviti maksiat dan pusat hiburan bercambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan tanpa sebarang sekatan dan kawalan. Sebaliknya dengan rasa bangga ,aktiviti dan pusat maksiat ini di perluaskan tanpa mengira sentimen ummat islam. Rentak muziknya menenggelamkan ketinggian suara azan dari rumah Allah dan aksi lincah mereka mengatasi keaktifan seorang pendakwah yang tekun menyebarkan agama.

Program agama dan gerak kerja dakwah kadangkala terfitnah dan terpaksa berhadapan dengan implikasi yang tidak sedikit, khasnya dari pihak tertentu yang sering memandang perkembangan ini dengan rasa cemburu yang negatif. Fenomena ini hanya melahirkan masyarakat yang jahil dan menjadikan mereka lemas dalam arus deras mungkar dan maksiat yang sukar dikawal dan dibatasi.

Saudara-saudara sekalian,
Dewasa ini juga kita melihat kebanyakan umat Islam tidak mengerti konsep ubudiah yang sebenar kepada Allah. Ianya samada berpunca dari kealpaan mereka sendiri, tiada kemahuan untuk mendalami ajaran agama atau berpunca dari serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam. Akibatnya, mereka membahagi-bahagikan ajaran agama. Sebahagian dari ajaran Islam mereka kerjakan dan sebahagian yang lain mereka tolak dan menganggap ianya bukan dari Islam.
Hanya sembahyang, puasa, zakat dan haji dianggap ibadah yang mesti ditunaikan. Manakala urusan ekonomi, sosial, politik, memilih pemimpin dan melaksanakan undang-undang Islam pada pandangan mereka tiada kena mengena dengan dosa pahala dan hari akhirat.
Pegangan seperti ini jelas bertentangan dengan nas Al Quranul Karim yang memerintahkan supaya orang-orang beriman menerima ajaran Islam keseluruhannya. Bahkan Allah menyatakan orang-orang yang menerima satu juzuk dari Islam dan menolak juzuk yang lain sebagai pengikut-pengikut syaitan. Firman Allah Taala :

”Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (al-Baqarah : 208)

Bukan itu sahaja, bahkan umat manusia hari ini tanpa segan silu melakukan apa sahaja mengikut selera hawa nafsu mereka, walaupun ianya bertentangan dengan agama dan moral. Apa yang menjadi neraca dan pedoman mereka ialah kebendaan dan kesenangan dunia semata-mata. Bukannya keredaan dan keampunan Allah.Tidak hairanlah hari ini berlaku berbagai-bagai bentuk bencana dan malapetaka di dunia silih berganti.
Bermacam-macam bencana alam yang dilaporkan oleh media berlaku di seluruh di dunia. Gempa bumi demi gempa bumi, ribut taufan bermacam-macam nama diberikan melanda dunia dan yang terkini banjir besar berlaku yang mengakibatkan kerugian harta benda jutaan ringgit serta banyak nyawa.
Adakah peringatan-peringatan awal dari Allah ini belum cukup menginsafkan kita agar kembali kepada Allah. Apa yang menyedihkan ketika menyambut perayaan tahun baru masihi baru-baru ini, masih ada lagi pesta-pesta dan konsert hiburan yang melalaikan, atau himpunan-himpunan sama ada dianjurkan secara kecil-kecilan atau sebaliknya yang hanya membawa murka Allah swt.

Saudara-saudara sekalian,
Marilah kita membuat sedikit muhasabah, kemudian melakukan tindakan perubahan untuk kebaikan kita dan anak bangsa kita sendiri. Dalam suasana minggu ini, ibu bapa sibuk untuk menguruskan persekolahan anak-anak, janganlah kita abaikan pendidikan agama mereka. Kalau kita sanggup membayar ratusan ringgit untuk membiayai persekolahan sehinggalah ditambah pula dengan kelas-kelas tuisyen diluar sekolah, kita juga mesti memikirkan sama pengajian agama untuk mereka.

Sama ada dianjurkan oleh pihak kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, persendirian atau sebagainya, kini banyak pusat-pusat asuhan pendidikan berteraskan Islam tumbuh untuk membantu anak-anak kita seawal 4 tahun. Begitu juga sekolah-sekolah agama kerajaan atau sekolah agama rakyat, yang kita mesti sokong dan dokong, yang kebaikannya nanti akan kembali kepada kita juga. Apalah kiranya, dengan sedikit wang atau yuran bulanan dibandingkan dengan keuntungan akhirat yang kita akan dapati dibelakang hari nanti.

Mudah-mudahan tindakan itu sedikit sebanyak akan menjernihkan suasana jenayah yang semakin meningkat dengan lahirnya anak-anak yang taatkan ibu bapa, menghormati orang lain, memuliakan institusi agama dan ulama’, malahan dewasanya nanti menjadi manusia yang berguna kepada agama dan negara. Apa sahaja bidang yang mereka ceburi nanti sekalipun, mereka menjadi manusia yang tidak lupa kepada Tuhan dan agamanya. Insya Allah.

"Adakah belum sampai lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.


بَارَكَ الله لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ , وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

0 Comments:

Post a Comment

<< Home